Friday, April 11, 2014

Siapakah Yang Mengasaskan Kedai Sukan Al-Ikhsan? (Menarik!)

Siapakah Yang Mengasaskan Kedai Sukan Al-Ikhsan? (Menarik!) | Admin percaya rata-rata daripada kita pernah mendengar tentang al-ikhsan ini. Sebuah jenama syarikat yang menjual barangan sukan. Tidak dinafikan juga, jika kita ke mana-mana bandar besar atau pusat beli-belah di seluruh Malaysia sekarang anda tidak dapat tidak pasti akan ternampak papan tanda besar al-ikhsan. Ia mula meniti di bibir peminat apabila iklan kedai sukan ini sentiasa terpapar di akhbar-akhbar harian. Bukan sehari dua, malah berhari-berhari dan ini menunjukkan bahawa perniagaan ini benar-benar serius.



Syarikat aL-ikhsaN adalah syarikat yang menyediakan kelengkapan sukan bertaraf antarabangsa yang mana produk yang ditawarkan adalah eksklusif dan berkait rapat dengan arena sukan dunia seperti Liga Bola Sepak England, Piala Eropah (Euro), Formula Satu (F1), Sukan Olimpik Beijing serta Piala Dunia 2010. Tetapi, bagaimana ia bermula dan apakah resepi kejayaan pengasasnya?


Kejayaan yang dicapai oleh syarikat ini bermula dengan modal kecil dan permulaan yang amat ‘humble’.
Pada permulaannya Ali Hassan Mohd Hassan hanya menjual barangannya secara kecil-kecilan kepada rakan-rakan dan pensyarah beliau ketika beliau masih menuntut di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor.

Beliau juga bekerja sambilan sebagai penghantar piza untuk menampung perbelanjaan pengajian dan sara hidup. Meskipun beliau juga menerima biasiswa, beliau memberitahu yang kesemuanya diberikan kepada ibu beliau “kerana kami bukan orang senang.”


Dalam berusaha tanpa mengenal jemu dalam pelajaran dan menyara kehidupan ketika itu, beliau akhirnya berjaya mendapat Diploma Kejuruteraan Mekanikal UTM pada tahun 1993. Beliau yang merupakan pelajar cemerlang pernah ditawarkan peluang untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara tetapi ditolak kerana lebih cenderung untuk mengusahakan perniagaan.

Perniagaan pertama Ali Hassan bermula pada tahun 1993 di ruang sempit di Holiday Plaza, Johor Bahru dengan modal perniagaan yang diusahakan dengan titik peluhnya sendiri. Beliau mula mengusahakanperniagaan serius pada tahun 1994 apabila mendapati wujud trend permintaan terhadap barangan sukan yang amat menggalakkan.

“Ketika itu, memang sukar untuk mendapatkan pinjaman daripada institusi kewangan kerana saiz perniagaan ini kecil. Itu bukan alasan untuk tidak berjaya. Saya kena rajin dan kuat berusaha dengan menjual baju sukan secara pantas.

“Dapat sahaja barang hari ini, jual secepat mungkin. Cari peluang yang ada di mana sahaja asalkan boleh dijual,” katanya yang pernah naik turun pejabat kerajaan dan syarikat swasta bagi memperoleh tempahan dan memasarkan barangannya. Beliau menyatakan dalam menjayakan sesuatu perniagaan, beberapa elemen penting perlu ada, antaranya kesabaran, kesungguhan, tiada perasaan malu serta tekun berusaha.

“Walaupun kita gagal sekali atau sukar mendapatkan pinjaman bank, kita kena istiqamah dan terus buat sahaja. Jangan fikir apa-apa, usahakan apa yang ada.

“Ini penting untuk kita bina reputasi walaupun mengambil masa satu atau dua tahun. Bila orang melihat reputasi kita yang semakin baik, barulah mereka akan percaya.

“Apa sahaja kita kena sabar…. perbaiki apa kelemahan yang ada. Jangan malu bertanya kepada pelanggan apa yang mereka tidak puas hati. Biar mereka ‘komplen’,” katanya yang berpendapat ia merupakan antara langkah untuk memajukan perniagaan ke tahap yang lebih baik lagi.

“Saya masih ingat lagi luahan pelanggan kerana barangan yang dipamerkan di kedai pertama sedikit dan banyak kekurangan. Itu tidak ada…ini tidak ada. Jadi, saya berusaha mendapatkan barangan yang mereka mahukan kerana ingin memuaskan hati pelanggan.

“Ambil sahaja apa ‘komplen’ pelanggan dan jangan kita tafsirkan pendapat atau kritikan yang diberikan itu sebagai negatif. Itu tanda mereka sayang kepada kita dan mahu melihat perniagaan kita berkembang,” katanya. Resipi kejayaan selama ini yang didukung dalam diri Ali Hassan sebenarnya berpaksikan sepenuhnya kepada tuntutan dalam agama Islam.

“Formula aL-ikhsaN dari dulu sehingga sekarang adalah jangan kita meninggalkan solat lima waktu, jaga ibu bapa kita sebaik mungkin, tunaikan zakat dan berikan sedekah dan bantu mereka yang susah.

Beliau menyerah semuanya kepada kekuasaaan Allah dan mempercayai sekiranya melakukan sesuatu perkara kerana Allah semata-mata, kesannya amat berbeza.

“Dari sini keajaiban akan berlaku dengan izin Allah. Kita kena yakin dengan janji Allah, iaitu siapa yang ikut perintah-Nya… kemenangan dan kejayaan akan diberikan di dunia dan akhirat. Mula-mula nampak susah tetapi sekarang semua keajaiban itu menunjukkan hasil. Inilah isi kejayaan yang sebenar,” jelasnya.

Selain pegangan kukuh pada tuntutan agama, senjata aL-ikhsaN yang sentiasa berada selangkah di hadapan pesaing adalah harga produk sukan dijual amat berpatutan bagi semua lapisan masyarakat.

“Apa yang paling penting ialah aL-ikhsaN memberikan produk-produk berkualiti dan berjenama antarabangsa dengan harga yang cukup berpatutan. Ini memberikan kepuasan kepada pembeli, sekali pakai mereka akan kembali lagi.

Kini terdapat sebanyak lebih dari 75 buah butik aL-ikhsaN di seluruh negara wujud yang menjadi bukti sebuah empayar perniagaan hebat miliknya. Malahan kebanyakan produk yang ada di aL-ikhsaN tidak terdapat di kedai-kedai lain. Pilihan produk juga luas dan dijual pada harga berpatutan. Model kasut sukan dan peralatan lain yang dipakai oleh pemain bola antarabangsa terkenal juga terdapat di kedai ini. Setiap barang yang dilancarkan di Eropah boleh didapati di AL-ikhsaN pada hari yang sama.

Pada penghujung 2010, aL-ikhsaN juga telah mula merancang membuka kedai sukan untuk wanita dikenali Al-Ikhsan Sports Girl. Menurut Ali, pembukaan premis ini untuk memenuhi tuntutan para pelanggan wanita yang menyatakan bahawa pakaian serta kelengkapan sukan berkualiti tinggi jenama terkemuka sukar diperoleh dalam pasaran tempatan. Jelas sekali dengan mendengar feedback dari pasaran, AL-ikhsaN mampu bertahan, malah berkembang dengan jayanya.

Kini, rangkaian kedai aL-ikhsaN adalah nama besar dalam kalangan anak muda hari ini yang menggemari produk sukan berjenama popular seperti Nike, Adidas, Puma, Reebok, Umbro, Lotto dan Diadora pada harga yang murah.

Kejayaan Ali Hassan mengembangkan kedai aL-ikhsaN ini diharapkan dapat memberikan inspirasi kepada usahawan Melayu yang sering dianggap stereotaip dengan kisah kegagalan, untuk berusaha tanpa mengenal jemu, beristiqamah, sambil mempelajari untuk mendengar kehendak pelanggan dalam membina perniagaan.

Ali Hassan membuktikan kebenaran pepatah Melayu, di mana ada kemahuan di situ ada jalan.

Popular Posts